Sabtu, 14 Disember 2019

logo4

Log Masuk

LOG MASUK KE AKAUN

ID Pengguna
Kata Laluan
Ingat Saya

MPSAS 1 - Pembentangan Penyata Kewangan

 

Soalan: Apakah komponen yang terkandung di dalam Penyata Kewangan?

Komponen Penyata Kewangan mengandungi

(a) Penyata Kedudukan Kewangan

(b) Penyata Prestasi Kewangan

(c) Penyata Perubahan Aset Bersih/Ekuiti

(d) Penyata Aliran Tunai

(e) Penyata Prestasi Bajet

(f) Nota kepada Penyata Kewangan

 

 Soalan: Adakah item perbelanjaan emolumen perlu dipecahkan secara terperinci di dalam Penyata Kewangan?

Persembahan perbelanjaan emolumen dalam penyata prestasi kewangan boleh didedahkan sebagai “single line item” dan maklumat terperinci didedahkan di dalam Nota kepada Penyata Kewangan.

 

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 MPSAS 16 – Hartanah Pelaburan

 

 Soalan: Bagaimanakah untuk mengakaunkan bangunan yang sebahagian digunakan untuk sewaan dan sebahagian lagi untuk tujuan pentadbiran?

Jika sebahagian bangunan yang disewakan boleh dijual secara berasingan dan amaun signifikan ia perlu diakaunkan sebagai hartanah pelaburan. Manakala bangunan yang digunakan untuk tujuan pentadbiran perlu diakaunkan di bawah MPSAS 17 Hartanah, Loji dan Peralatan (HLP).

 

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

MPSAS 17 – Hartanah, Loji dan Peralatan (HLP)

 

 Soalan: Apakah ciri-ciri aset yang dikategorikan sebagai aset infrastruktur?

Aset infrastruktur mempunyai beberapa atau semua ciri berikut:

(a) merupakan sebahagian daripada sistem atau rangkaian infrastruktur

(b) bersifat khusus dan tidak mempunyai kegunaan alternatif

(c) harta tak alih

(d) tertakluk kepada kekangan pelupusan

 

 Soalan: Apakah contoh aset infrastruktur?

Aset infrastruktur merupakan sesuatu aset dalam sistem jalan raya, sistem pembetungan, sistem bekalan air dan tenaga, dan rangkaian komunikasi.

 

Soalan: Apakah kadar RM per km yang digunapakai untuk mengakaunkan aset infrastruktur jalan raya?

Agensi boleh merujuk kepada kadar RM per km bagi jalan raya yang telah ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

Soalan: Apakah kaedah susut nilai yang boleh digunapakai untuk aset infrastruktur?

Pelbagai kaedah susut nilai boleh digunapakai iaitu kaedah garis lurus, kaedah baki berkurangan dan kaedah unit pengeluaran. Agensi boleh memilih kaedah yang paling hampir menggambarkan jangkaan corak penggunaan manfaat ekonomi masa hadapan atau potensi perkhidmatan aset tersebut. Kaedah perlu digunapakai secara konsisten melainkan terdapat perubahan dalam jangkaan corak penggunaan manfaat ekonomi masa hadapan atau potensi perkhidmatan aset tersebut.

 

Soalan: Bagaimanakah bahagian daripada sesuatu item HLP yang mempunyai kos yang signifikan berbanding jumlah kos item tersebut perlu disusutnilai?

Setiap bahagian daripada sesuatu item HLP dengan kos yang signifikan berbanding jumlah kos item tersebut hendaklah disusutnilai secara berasingan.

Contoh susut nilai bagi aset infrastruktur dalam sistem jalan raya seperti lorong, bahu jalan, laluan pejalan kaki, jambatan, dan lampu adalah perlu disusut nilai secara berasingan.

 

Soalan: Adakah kerja-kerja penurapan semula jalan raya perlu dipermodalkan atau diiktiraf sebagai belanja?

Kerja-kerja penurapan semula jalan raya yang akan meningkatkan manfaat ekonomi, potensi perkhidmatan dan memanjangkan usia guna jalan raya perlu dipermodalkan.

 

Soalan: Bagaimanakah untuk mengiktiraf kos perkhidmatan harian bagi jalan raya?

Kos perkhidmatan harian perlu diiktiraf sebagai perbelanjaan dalam lebihan atau kurangan.

Contoh kos perkhidmatan harian bagi jalan raya adalah seperti menampal pothole, meratakan bahu jalan, memotong rumput, mencuci pembetung dan jambatan, mencuci longkang dan pemeriksaan berjadual. Ini kerana kerja-kerja tersebut tidak menambahkan manfaat ekonomi masa hadapan dan potensi perkhidmatan.

 

Soalan: Bagaimanakan tempoh susut nilai ditetapkan bagi penilaian semula aset yang telah disusut nilai sepenuhnya?

Sekiranya sesuatu aset dinilaikan semula, susut nilai aset perlu di kira semula berdasarkan kepada kos aset yang baharu menggunakan usia guna asal. Walaubagaimanapun, usia guna aset perlu disemak semula sekiranya terdapat petunjuk bahawa usia guna tersebut perlu diubah. Sekiranya penilaian semula dilaksanakan, ianya perlu dilaksanakan ke atas keseluruhan kelas aset tersebut.

 

  

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

  

 MPSAS 20 – Pendedahan Pihak Berkaitan

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Pihak Berkaitan (Related Party)?

Pihak Berkaitan adalah jika satu pihak mempunyai keupayaan untuk:

(a) mengawal pihak yang satu lagi, atau

(b) melaksanakan pengaruh signifikan ke atas pihak lain dalam membuat keputusan kewangan dan operasi, atau jika entiti Pihak Berkaitan dan entiti yang lain adalah tertakluk kepada kawalan yang sama.

 

Soalan: Bilakah maklumat Pihak Berkaitan perlu didedahkan?

Hubungan Pihak Berkaitan yang menunjukkan terdapatnya kawalan mesti didedahkan dalam Nota kepada Penyata Kewangan, tanpa mengira sama ada terdapat urus niaga antara pihak yang berkaitan.

   

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 MPSAS 23 – Hasil Daripada Urus Niaga Bukan Pertukaran

 

Soalan: Bagaimanakah untuk mengakaunkan aset yang diterima sebagai hadiah?

Hadiah yang diterima perlu diakaunkan pada nilai saksama pada tarikh pemerolehannya.

 

Soalan: Hadiah yang diterima perlu diukur pada nilai saksama pada tarikh pemerolehannya. Bagaimanakah sekiranya nilai saksama pada tarikh pemerolehan hadiah tidak dapat ditentukan?

Sekiranya nilai saksama pada tarikh pemerolehan hadiah tidak dapat ditentukan, nilai saksama pada ketika ini boleh diterima sebagai kos anggapan (deemed cost).

 

Soalan: Adakah geran yang diterima oleh agensi dikategorikan sebagai ekuiti atau liabiliti jangka panjang?

Jika geran yang diterima adalah geran bersyarat (conditions) iaitu terdapat ketetapan khusus yang dikehendaki untuk digunakan oleh penerima dan jika tidak dipenuhi, aset perlu dipulangkan kepada pemindah, ia perlu dikategorikan sebagai liabiliti.

Jika geran yang diterima adalah geran yang mempunyai sekatan (Restrictions) iaitu terdapat ketetapan yang menghadkan atau menjurus terus kepada kegunaan aset tersebut tetapi tidak menyatakan bahawa aset perlu dipulangkan dan jika tidak digunakan seperti yang telah ditentukan, ia perlu dikategorikan sebagai aset.

   

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 MPSAS 24 - Pembentangan Maklumat Bajet Di Dalam Penyata Kewangan

 

Soalan: Adakah agensi wajib untuk melaporkan Penyata Prestasi Bajet dalam Penyata Kewangan?

Prinsip asas dalam menentukan sama ada agensi perlu melaporkan Penyata Prestasi Bajet dalam Penyata Kewangan adalah apabila maklumat bajet tersebut telah didedahkan kepada awam/umum secara keperluan perundangan/ peraturan ataupun secara sukarela. Sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa wujud keperluan agensi untuk mendedahkan bajet kepada umum sama ada bajet bagi keseluruhan agensi mahupun bajet berasingan berkaitan peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan, maka Penyata Prestasi Bajet Perlu disediakan di dalam Penyata Kewangan setakat aktiviti yang telah dibentangkan tersebut.

 

Soalan:  Bilakah Penyesuaian Penyata Prestasi Bajet perlu disediakan?

Penyesuaian Penyata Prestasi Bajet perlu disediakan apabila penyata kewangan dan bajet tidak disediakan pada asas yang sama. Contohnya bajet disediakan pada asas tunai, manakala penyata kewangan disediakan pada asas akruan.

 

Soalan:  Bagaimanakah Penyesuaian Penyata Prestasi Bajet disediakan?

Penyesuaian Penyata Prestasi Bajet disediakan dengan menyesuaikan amaun sebenar yang dibentangkan dalam Penyata Prestasi Bajet dan amaun sebenar dalam Penyata Aliran Tunai, dengan mengenal pasti secara berasingan mana-mana perbezaan asas, masa dan entiti.

 

Soalan:  Apakah yang dimaksudkan dengan perbezaan asas, masa dan entiti di dalam Penyesuaian Penyata Prestasi Bajet?

               Perbezaan asas berlaku apabila bajet disediakan mengikut asas tunai atau asas tunai ubahsuai manakala Penyata Kewangan disediakan mengikut asas akruan.

               Perbezaan masa berlaku apabila tempoh bajet berlainan dengan pelaporan yang digunakan dalam Penyata Kewangan.

               Perbezaan entiti berlaku apabila bajet tidak mengambilkira sesuatu program atau entiti yang menjadi sebahagian daripada entiti dalam Penyata Kewangan yang telah disediakan.

   

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 MPSAS 25 – Manfaat Pekerja

 

Soalan: Adakah gaji perlu diiktiraf sebagai liabiliti dan belanja secara bulanan atau tahunan?

Mengikut amalan terbaik, gaji diakrukan secara bulanan. Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada polisi agensi.

 

Soalan: Bilakan bonus perlu diiktiraf?

Bonus perlu diiktiraf sebagai liabiliti dan belanja apabila pengumuman mengenai pembayaran bonus dibuat. Pengumuman bonus di dalam pembentangan bajet telah mempunyai obligasi konstruktif dimana kerajaan telah mengisytiharkan pembayaran bonus kepada kakitangan.

  

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 MPSAS 29 - Instrumen Kewangan (Aset Kewangan)

 

Soalan: Adakah kadar faedah pinjaman di agensi boleh ditetapkan mengikut pekeliling-pekeliling kerajaan yang berkuatkuasa atau pun sebaliknya?

Kadar faedah pinjaman yang diberi boleh ditetapkan mengikut pekeliling-pekeliling Kerajaan yang berkuatkuasa. Namun begitu, sekiranya pinjaman yang diberi adalah rendah daripada kadar pasaran, harga urus niaga pada pengiktirafan awal pinjaman tersebut mungkin bukan pada nilai saksamanya.

Oleh itu pada pengiktiran awal, sebarang perbezaan antara kadar faedah yang ditetapkan dengan Nilai Saksama pinjaman pada sesuatu urusniaga perlu direkodkan sebagai Lebihan atau Kurangan.

   

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 MPSAS 33 – Pemakaian Kali Pertama MPSAS

 

Soalan: Adakah terdapat peruntukan peralihan diberikan bagi Penyata Kewangan MPSAS yang pertama?

MPSAS membenarkan pengguna kali pertama mengambil tempoh peralihan sekiranya terdapat perkara yang tidak dapat dipatuhi sepenuhnya.

Peruntukan peralihan ini mungkin akan memberi kesan pembentangan yang saksama ke atas Penyata Kewangan. Maklumat mengenai perkara yang tidak dapat dipatuhi dan langkah-langkah serta usaha yang diambil sepanjang tempoh peralihan untuk mematuhi piawaian berkaitan perlu didedahkan dalam Nota kepada Penyata Kewangan.

   

    _____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 MPSAS 35 - Penyata Kewangan Disatukan

 

Soalan: Bagaimanakah Penyata Kewangan Disatukan disediakan bagi agensi yang mempunyai anak syarikat yang menggunakan piawaian perakaunan selain daripada MPSAS.

Agensi induk (parent) perlu membuat translation bagi mana-mana item dalam Penyata Kewangan anak syarikat yang mempunyai kaedah pengukuran dan pengiktirafan yang berbeza dengan MPSAS.